Cristiano Ronaldo merangkul pelbagai anugerah dan kejuaraan ketika di Manchester United. FOTO File EPA
Cristiano Ronaldo merangkul pelbagai anugerah dan kejuaraan ketika di Manchester United. FOTO File EPA
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester United mengumumkan mencapai persetujuan untuk menandatangani semula Cristiano Ronaldo dari Juventus, selepas 12 tahun penyerang itu meninggalkan Old Trafford untuk ke Real Madrid.

"Manchester United gembira mengesahkan bahawa kelab mencapai persetujuan bersama Juventus bagi perpindahan membabitkan Cristiano Ronaldo, tertakluk perjanjian syarat peribadi, visa dan perubatan," menurut United dalam satu kenyataan.

"Semua orang di kelab ini tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran semula Cristiano ke Manchester."

United mengambil langkah drastik 24 jam tatkala Ronaldo hampir pasti menyertai seteru kelab itu, Manchester City.

Juara Liga Perdana, City dikaitkan kuat dengan perpindahan penyerang Portugal itu selepas gagal mendapatkan kapten England, Harry Kane.

Bagaimanapun, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan mengenai perjanjian itu ketika sidang media pra perlawanan menjelang aksi Liga Perdana di Wolves pada Ahad.

"Cristiano adalah legenda kelab ini, dia pemain terbaik sepanjang zaman, jika ditanya kepada saya," kata Solskjaer, yang pernah beraksi disamping Ronaldo.

"Kami sentiasa mempunyai komunikasi yang baik. Saya tahu Bruno (Fernandes) turut bercakap dengannya. Jika dia mahu berpindah dari Juventus, dia tahu kami berada di sini."

Sky Sport Italia melaporkan United menawarkan Juve sekitar 28 juta Euro (RM138 juta) serta bersetuju dengan perjanjian dua tahun bersama bintang penyerang bernilai 25 juta Euro (RM123 juta) semusim itu.

Ronaldo menang salah satu daripada lima kejuaraan Liga Juara-Juara dan kali pertama dimahkotakan pemain terbaik dunia ketika enam tahun di United antara 2003 dan 2009.

Keseluruhannya dia menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan, juga memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana, satu Piala FA dan dua Piala Liga.

United memperkuatkan skuad mereka musim ini dengan menandatangani Jadon Sancho dan Raphael Varane pada jendela perpindahan dengan sasaran memenangi Liga Perdana buat pertama kali sejak 2013.

Ronaldo menyertai senarai jentera serangan pilihan buat Solskjaer yang menampilkan Fernandes, Sancho, Edinson Cavani, Marcus Rashford, Anthony Martial, Mason Greenwood dan Paul Pogba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:59 AM