RONALDO ketika beraksi bersama United pada 2006. FOTO AFP
RONALDO ketika beraksi bersama United pada 2006. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo jelas bercita-cita besar sebaik kembali ke Manchester United apabila bintang Potugal itu memberitahu rakan sepasukannya bahawa dia mahu memenangi kejuaraan liga musim ini.

Ronaldo, 36, menandatangani kontrak dengan Red Devils pada jendela perpindahan pemain dari Juventus, 12 tahun selepas dia meninggalkan United untuk beraksi di Real Madrid.

Bintang Portugal itu dilepaskan lebih awal daripada tugasan antarabangsa minggu ini dan sudah tiba di Manchester di mana dia dilihat bercakap dengan bekas rakan sepasukannya, Darren Fletcher sebaik tiba.

The Sun melaporkan Ronaldo sudah pun memberitahu rakan sepasukannya, Bruno Fernandes yang dia mahu memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

"Pemain dan staf kejurulatihan kini percaya mereka mempunyai barisan pemain terbaik di liga ini dan mampu memenangi Liga Perdana musim ini," kata sumber di United.

"Ronaldo juga sudah bercakap dengan Bruno Fernandes dan memberitahunya untuk memaklumkan kepada barisan pemain lain bahawa mereka perlu memenangi piala pada tahun ini.

"Mereka harus bekerja keras dan mula percaya kepada diri sendiri. Barisan pemain tidak pernah berhenti bercakap mengenai Ronaldo sejak dia sah menyertai United dan mereka tidak sabar untuk berlatih bersama-samanya."

Ronaldo ketika ini menjalani proses kuarantin selama lima hari.

United tidak pernah memenangi kejuaraan liga selepas era Alex Ferguson dan menamatkan saingan musim lalu di tempat kedua dengan kekurangan 12 mata berbanding juara, Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 9:42 PM