MAN United berminat mendapatkan Ronaldo. FOTO Agensi
MAN United berminat mendapatkan Ronaldo. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan pemain selepas Juventus dikatakan mahu menjual pemain berstatus bintang itu.

Juventus mahu melepaskan Ronaldo bagi mendapatkan wang tunai sebelum kontrak pemain Portugal itu tamat pada hujung musim 2021/2022 sekali gus tidak lagi menanggung beban membayar gaji pemain itu sebanyak £540,000 (RM2.9 juta) seminggu.

United pula dikatakan sedang mengadakan perbincangan bersama Ronaldo, menurut wartawan FOX America, Christian Martin.

Ronaldo didakwa sedang mempertimbangkan tawaran itu dengan Juventus bersedia mengadakan perbincangan bersama United.

Martin menerusi ciapan Twitter miliknya menulis: "Sumber kami di Manchester dan Porto mengesahkan Manchester United mahu mendapatkan Cristiano Ronaldo kembali ke kelab itu musim depan.

"Bintang Portugal itu sedang mempertimbangkannya. Juventus akan mengadakan perbincangan jika Ronaldo meminta ia dilakukan."

Gergasi Itali itu sedang mempertimbangkan untuk menjual Ronaldo kerana faktor kewangan selepas terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Gaji yang diperolehi Ronaldo itu empat kali lebih banyak berbanding pemain kedua menerima gaji tertinggi di Juventus, Matthijs de Ligt.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 9:49 PM