Lionel Messi (kiri) dan Neymar menjalani latihan di Paris Saint Germain. FOTO EPA
Lionel Messi (kiri) dan Neymar menjalani latihan di Paris Saint Germain. FOTO EPA
AFP

Paris: Paris Saint-Germain mengetepikan superstar mereka Neymar dan Lionel Messi dalam senarai skuad yang akan menentang Strasbourg di saingan Ligue 1, pagi ini.

Buat kali kedua pada musim ini, jurulatih Mauricio Pochettino sekali lagi tidak memilih mana-mana pemain yang kembali ke kelab itu lewat selepas Euro atau Copa America.

Messi, beraksi pada final saingan Amerika Selatan berdepan Neymar dan Brazil, hanya menandatangani kontrak bersama PSG pada Selasa.

Messi, 34, tidak memulakan latihan bersama rakan sepasukan baharunya sehingga Khamis

Pochettino berkata staf jurulatih akan melakukan peringkat demi peringkat bersama penyerang Argentina itu supaya dia berada dalam keadaan terbaik bila mula beraksi.

"Ia peluang yang terbaik untuk melihat aksinya," kata Pochettino.

Juga masih tidak bersama skuad adalah tonggak Brazil, Marquinhos, Angel Di Maria dan Leandro Paredes (Argentina) yang semuanya menyinar di final Copa pada 10 Julai lalu dan pemain Itali, Gianluigi Donnarumma dan Marco Verratti yang menyerlah pada kejayaan di final Euro ke atas England sehari kemudiannya.

Mereka melakukan persediaan fizikal selepas kembali ke pusat latihan pada 6 Ogos lalu.

Seorang lagi pemain bintang Sergio Ramos mengalami kecederaan dan dijangka tidak dapat melakukan penampilan pertama bersama kelab hingga selepas rehat antarabangsa pada awal September ini.

Messi masih menjadi tarikan pada sambutan yang diadakan dalam perlawanan pertama di laman sendiri membabitkan PSG musim ini apabila Parc des Princes buat julung kali dipenuhi penonton selepas lebih 17 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:11 PM