MESSI (kanan) dijangka membuat penampilan penuh bersama PSG minggu lalu tetapi direhatkan ketika menentang Clermont. FOTO AFP
MESSI (kanan) dijangka membuat penampilan penuh bersama PSG minggu lalu tetapi direhatkan ketika menentang Clermont. FOTO AFP
AFP

Bruges: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino memberi bayangan bintang baharu pasukan itu, Lionel Messi kemungkinan besar akan diturunkan buat pertama kali bergandingan bersama Neymar dan Kylian Mbappe menjelang aksi bertemu Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Penyerang antarabangsa Argentina itu yang meninggalkan Barcelona secara percuma pada musim panas masih belum diturunkan bersama dua lagi bintang pasukan itu dan Pochettino mahu berkongsi keterujaannya dengan penyokong PSG.

"Messi, Neymar dan Mbappe, bergandingan bersama? Saya turut berkongsi keterujaan ini, saya boleh dianggap gila jika tidak mahu menyaksikan mereka digandingkan bersama," kata Pochettino.

"Adakah kita akan menyaksikan mereka bersama esok? Mungkin ya.

"Sejak lebih sebulan Messi menyertai kelab Perancis itu, dia hanya sekali dilihat menyarung jersi PSG untuk tempoh 24 minit ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Reims dalam saingan Ligue 1.

Pemain berusia 34 tahun itu pada awalnya dijangka membuat penampilan penuh bersama PSG minggu lalu tetapi dia direhatkan ketika menentang Clermont selepas pulang daripada tugasan antarabangsa dengan Argentina.

Bagaimanapun, Pochettino dijangka memanfaatkan kehebatan dimiliki pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak enam kali itu apabila bertemu Club Brugge untuk aksi pembukaan Kumpulan A.

Pochetino, berkata kehadiran Messi bukanlah satu jaminan mereka mampu melakar kejayaan dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Dengan nama besar seperti itu, anda merasakan kami adalah pasukan yang perlu ditewaskan. Namun, Chelsea yang juga juara bertahan yang perlu ditewaskan.

"Mereka semakin kuat, berbelanja lebih banyak berbanding PSG, tetapi saya tidak ada masalah. Kami membeli ramai pemain pada musim panas ini termasuk nama besar tetapi kami perlu menterjemahkannya sebagai satu pasukan seperti yang dilakukan Chelsea tahun lalu," kata Pochettino yang membawa Tottenham Hotspur ke final Liga Juara-Juara pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 1:40 PM