NEYMAR memeluk Paqueta yang meledak gol kemenangan Brazil. FOTO AFP
NEYMAR memeluk Paqueta yang meledak gol kemenangan Brazil. FOTO AFP
Agensi

Rio de Janeiro: Juara bertahan Brazil mara ke final Copa America selepas menewaskan Peru 1-0 pagi ini.

Dalam aksi ulangan final 2019, Lucas Paqueta muncul wira tuan rumah dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-35 di Stadium Nilson Santos di Rio de Janeiro.

Brazil akan menentang sama ada Argentina atau Colombia selepas Tite mencipta sejarah dengan menyamai rekod Mario Zagallo sebagai ketua jurulatih Selecao yang kekal tanpa kalah dalam 12 perlawanan di Copa America.

"Saya mahu Argentina. Saya sokong Argentina kerana saya ada ramai kawan di sana tetapi Brazil akan muncul juara,'' kata Neymar.

"Paqueta pemain hebat, dia semakin bagus pada setiap perlawanan bersama skuad kebangsaan,'' katanya mengenai penjaring gol kemenangan berusia 23 tahun yang beraksi bersama Lyon di Perancis.

"Dia menikmati musim hebat bersama kelabnya dan dia akan menjadi pemain penting kepada pasukan Brazil."

Mereka bermula garang dengan memaksa penjaga gol Peru Pedro Gallese bekerja keras mengawal gawangnya.

Peluang terbaik pertama Brazil muncul pada minit kelapan selepas hantaran cantik Paqueta kepada Richarlison yang memperdayakan Gallese sebelum menghantar kepada Neymar namun rembatannya tersasar.

Lima minit kemudian gawang Peru nyaris dibolosi menerusi sepakan percuma Casemiro namun berjaya ditampan Gallese.

Gallese sekali lagi menyelamatkan gawangnya selepas menampan rembatan jarak dekat Neymar dan Richarlison.

Kubu Peru akhirnya roboh 10 minit sebelum tamat babak pertama.

Richarlison bijak menghantar bola kepada Neymar dalam kotak penalti yang kemudiannya memperdayakan tiga pemain Peru sebelum melorongkan kepada Paqueta yang tidak membuat kesilapan di depan gawang.

Tidak seperti babak pertama, Peru lebih berbahaya pada babak kedua dengan La Blanquirroja menguji penjaga gol Ederson ketika sejam permainan dan percubaan jarak jauh Raziel Garcia turut mencemaskan tuan rumah.

Peru nyaris mendapat gol penyamaan ketika permainan berbaki sembilan minit selepas Ederson gagal menumbuk bola sepakan percuma dengan cermat tetapi tandukan Alexander Callens melepasi palang gol.

Brazil kini tidak tewas 13 perlawanan dalam semua kejohanan selain memburu gelaran ke-10 Copa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 9:44 AM