PEMAIN Brazil meraikan kejayaan selepas menumpaskan Chile di suku akhir Copa America. FOTO AFP
PEMAIN Brazil meraikan kejayaan selepas menumpaskan Chile di suku akhir Copa America. FOTO AFP
Agensi

Rio De Janeiro: Penyandang juara Copa America, Brazil mara ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Chile apabila pemain gantian, Lucas Paqueta menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan pagi tadi.

Paqueta melepaskan rembatan jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Chile, Claudio Bravo pada minit ke-46 untuk memberikan penyokong Brazil keceriaan selepas Selecao berjaya ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, dua minit kemudian penyerang Brazil, Gabriel Jesus diperintah keluar padang selepas selepas melakukan tendangan terbang ke atas Eugenio Mena.

Brazil tidak berhenti untuk menekan Chile terutama menerusi gelecekan Neymar dan serangan balas pantas.

Chile hampir menjaringkan gol penyamaan namun jaringan Eduardo Vargas dibatalkan akibat ofsaid.

Neymar yang keletihan berkata, beraksi dengan 10 pemain adalah satu ujian yang bagus buat Brazil.

"Setiap perlawanan kami harus berdepan dengan ujian untuk membuatkan kami lebih kuat, membuktikan kami mampu melakukan apa saja dalam pelbagai situasi. Kami harus kekal ampuh. Ia memang sukar untuk melakukannya," kata Neymar.

Peru mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Paraguay 4-3 dalam penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi sebenar.

Ia adalah perlawanan paling menarik dan mendebarkan sepanjang Copa America setakat ini.

Brazil dan Peru akan mengulangi aksi perlawanan akhir 2019 yang menyaksikan tuan rumah menang 3-1 ketika itu.

Pada aksi berkenaan Jesus turut dibuang padang di Stadium Maracana, Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 11:14 AM