PEMAIN Brazil meraikan kemenangan. FOTO AFP
PEMAIN Brazil meraikan kemenangan. FOTO AFP
AFP

Rio De Janeiro: Brazil meneruskan permulaan sempurna di Copa Amerika selepas jaringan Alex Sandro, Neymar, Everton Ribeiro dan Richarlison memberikan kemenangan 4-0 ke atas Peru di Rio de Janeiro pagi ini.

Ia kemenangan kesembilan berturut-turut Selecao yang mendahului Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan manakala Peru tercorot.

Aksi kedua-dua pasukan hampir seimbang pada babak pertama tetapi Brazil mempamerkan kualiti sebenar selepas rehat dengan Neymar menjadi inspirasi kemenangan besar mereka.

Selecao membuka tirai jaringan pada minit ke-12 selepas Sandro yang mendapat hantaran Gabriel Jesus merembat dari jarak dekat.

FIRMINO  (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Colombia di Stadium Nilton Santos, Rio de Janeiro. FOTO AFP
FIRMINO (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Colombia di Stadium Nilton Santos, Rio de Janeiro. FOTO AFP

Bersambung babak kedua, Brazil mendapat penalti selepas Neymar dikasari Renato Tapia tetapi pengadil menarik balik keputusannya selepas meneliti monitor tepi padang.

Neymar tidak menunggu lebih lama menggegar gawang lawan pada minit ke-68 menerusi rembatan rendah di luar kotak penalti selepas mendapat hantaran Fred.

Peru hampir merapatkan kedudukan ketika permainan berbaki 12 minit namun Luis Abram dan Alex Valera gagal menolak bola masuk dari jarak dekat.

Neymar dan pemain gantian Roberto Firmino mempunyai peluang mengesahkan kemenangan tetapi jaringan ketiga hanya diperolehi seminit sebelum tamat masa permainan sebenar menerusi tolakan Everton Ribeiro.

Richarlison melengkapkan pesta gol Brazil pada masa tambahan selepas merembat bola tampanan pertahanan Peru dalam kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 10:43 AM