CHENG Hoe akui De Paula mempunyai penyudah yang baik dan sebab itu perlu fikir positif. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe akui De Paula mempunyai penyudah yang baik dan sebab itu perlu fikir positif. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali negara, Tan Cheng Hoe mempertahankan keputusannya yang mengekalkan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula selama 90 minit ketika Malaysia tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi tadi.

Katanya, strategi untuk tidak menukarkan De Paula khususnya pada babak kedua adalah kerana percaya kelebihan fizikal dimiliki pemain Brazil itu mampu membawa kelebihan kepada pasukan.

"Mungkin kita percaya dengan dari segi fizkikal De Paula, dan kita tahu De Paula mempunyai penyudah yang baik dan sebab itu kita perlu fikir positif.

"Kerana kita mungkin waktu itu ketinggalan 1-0 dan mungkin kita boleh dapat gol penyamaan melalui De Paula. Sebab itu kita kekal dia dalam sepanjang perlawanan semalam," kata Cheng Hoe pada sesi media secara maya hari ini.

Aksi kurang memuaskan De Paula nyata menimbulkan kritikan peminat terhadap pemain baharu, Johor Darul Ta'zim (JDT) itu terutamanya di laman sosial.

Malah, ramai yang mempersoalkan tindakan Cheng Hoe yang masih menyimpan bekas ayam tambatan Perak dan Kuala Lumpur itu dengan sebaliknya menukar pemain di posisi lain.

Pada aksi itu, skuad negara yang diperkuatkan tiga pemain naturalisasi serta tiga tonggak warisan masih gagal memberi tentangan apabila tewas 0-4 menerusi dua jaringan Ali Makhbout dan dua lagi oleh penyerang naturalisasi dari Brazil, Fabio Lima.

Malaysia akan meneruskan kempen menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:48 PM