PEMAIN Harimau Malaya gigih jalani latihan semalam.
PEMAIN Harimau Malaya gigih jalani latihan semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe perlu mempertimbangkan semula sistem permainan pasukannya yang digunakan sewaktu tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam misi wajib menang ke atas Vietnam tengah malam, Jumaat ini.

Gesaan itu dibuat selepas sistem diterapkan Cheng Hoe pada aksi di Stadium Zabeel di Dubai, Sabtu lepas dilihat lebih memberi penekanan kepada corak permainan bertahan dan hanya menunggu peluang melakukan serangan balas.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata sistem permainan bertahan bukan sahaja membataskan sumbangan dan keupayaan sebenar pemain negara, malah memerlukan mereka berada pada tahap kecergasan terbaik untuk bergerak secara konsisten sehingga wisel penamat.

Beliau berkata, berdasarkan perlawanan menentang UAE tempoh hari, skuad Harimau Malaya dilihat tidak berjaya mengekalkan kecergasan apabila memasuki 30 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan UAE memanfaatkan peluang itu untuk mendominasi seterusnya menjaringkan gol.

"Sistem digunakan menentang UAE tidak sesuai diteruskan dan saya harap Cheng Hoe dapat bertukar kepada sistem yang lebih memfokuskan kepada menyerang," katanya hari ini.

"Skuad kebangsaan juga perlu bermain 'zonal marking' maksudnya tidak banyak pergerakan dilakukan pemain untuk membolehkan mereka kekal di posisi masing-masing ketika bertahan mahupun melakukan serangan. Saya rasa itu lebih menyenangkan pemain untuk beraksi," katanya.

Zonal marking membawa maksud sistem pertahanan di mana setiap pemain lebih bertanggungjawab mempertahankan zon masing-masing di dalam padang berbanding pergerakan pihak lawan.

Beliau berkata perubahan sistem permainan mungkin bakal menyaksikan keberkesanan dua pemain sayap Muhammad Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh di bahagian masing-masing selepas kelibat kedua-dua pemain itu sebelum ini tidak memberikan banyak impak dalam permainan tempoh hari.

"Selepas tewas kepada UAE, dengan segala kritikan dan komen daripada netizen sudah pasti skuad kebangsaan turun dengan tekanan yang lebih berbanding Vietnam. Kita tidak boleh kalah perlawanan ini kerana situasi untuk layak menjadi lebih berliku," tambah Khalid.

Selepas tewas kepada UAE, Malaysia akan meneruskan baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai sebelum berdepan Thailand pada 15 Jun dalam aksi terakhir.

Skuad negara tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mencatat kemenangan ke atas Vietnam dan Thailand dalam misi menamatkan saingan kumpulan di kedudukan dua teratas bagi mencerahkan peluang layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Selepas enam perlawanan, Vietnam kini mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul 14 mata, diikuti UAE kedua (12 mata), Thailand ketiga (sembilan mata), Malaysia keempat (sembilan mata) dan Indonesia tercorot dengan satu mata.

Berdasarkan rekod, skuad kebangsaan di bawah bimbingan Cheng Hoe hanya mencatat satu keputusan seri dan tewas tiga kali dalam empat perlawanan terakhir menentang Vietnam dengan pertemuan terbaru Malaysia tewas 0-1 dalam aksi kumpulan kempen kelayakan ketika berkunjung ke Hanoi pada Oktober 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 6:17 PM