HAMIDIN bersama Cools di Dubai. FOTO FAM
HAMIDIN bersama Cools di Dubai. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Benteng pertahanan Harimau Malaya bakal tampil ampuh apabila pemain berstatus bintang, Dion Cools sah akan menyarung jersi negara pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menentang tuan rumah awal pagi Sabtu ini.

Cools yang beraksi buat kelab Denmark, FC Midtylland antara pemain dari Asia yang berjaya merasai bahang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini untuk berdepan dengan kelab-kelab terkemuka dunia seperti Liverpool, Ajax Amsterdam dan Atalanta.

Pengumuman kehadiran tonggak pertahanan kacukan Belgium-Malaysia itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi platform Facebook rasmi badan induk itu.

"Alhamdulillah, pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools sudah bersama pasukan di Dubai, UAE, hari ini dan secara rasmi sah diumum sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya.

"Ini berikutan selepas segala proses dokumentasi di peringkat Fifadan AFC, terutamanya berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain sudah selesai.

"Dengan kehadirannya, ia akan dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya.

"Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan. Amin," kata Hamidin.

Berdasarkan kemampuan Cools, dia dilihat mampu mengukuhkan lagi pertahanan negara sama ada di bahagian kanan mahupun tengah untuk digandingkan bersama ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Ketika ini, antara kelemahan ketara pasukan negara adalah di bahagian pertahanan apabila dalam dua aksi persahabatan menyaksikan Malaysia dibolosi sebanyak enam gol ketika menentang Kuwait dan Bahrain.

Untuk rekod, Harimau Malaya tewas 1-4 dan 0-2 di tangan Kuwait dan Bahrain. Skuad negara dijadual mengharungi kempen kelayakan bermula bertemu UAE sebelum turun menentang Vietnam dan Thailand, dengan masing-masing berlangsung awal pagi Jumaat ini, 12 Jun dan 16 Jun pada jam 12.30 pagi waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 10:49 AM