Aidil Zafuan (kiri), Dion Cools.
Aidil Zafuan (kiri), Dion Cools.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelemahan atau lubuk di jentera pertahanan tengah skuad Harimau Malaya dianggap selesai apabila tonggak baharu pasukan, Dion Cools dijangka membentuk gandingan mantap bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas ini.

Menurut pengendali negara, Tan Cheng Hoe, kredibiliti Cools yang pernah beraksi di pentas tertinggi Eropah seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bakal membawa keseimbangan dalam pasukan sekali gus mengatasi kelemahan ketara yang dikesan pada dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain sebelum ini.

Malah, pengalaman Cools beraksi mengekang asakan penyerang terbilang Liverpool seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan beberapa ayam tambatan tersohor lain dilihat mampu membantu pasukan khususnya apabila turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, awal pagi Jumaat ini.

"Kalau kita ikut perkembangan atau statistik, dia (Cools) boleh bermain beberapa posisi seperti bek kanan boleh, bek kiri boleh, bek tengah dan juga tengah bertahan.

"Dia seorang pemain utiliti dan bagus untuk pasukan. Skuad kebangsaan kali ini kemungkinan akan letak dia di bahagian pertahanan tengah kerana kita tahu selepas Shahrul Saad dapat kecederaan, kita agak risau jugak posisi itu.

"Dua aksi yang lepas kita dibolosi gol...bukan 100 peratus disebabkan pertahanan tetapi kestabilan sesiapa yang boleh isi kekosongan itu mampu bawa sesuatu," katanya.

Mengulas mengenai keserasian dalam pasukan, Cheng Hoe yakin tonggak kacukan Malaysia-Belgium yang beraksi untuk kelab Denmark, FC Midtjylland itu sempat menemui persefahaman bersama rakan sepasukan lain ketika aksi berdepan UAE hanya berbaki dua hari.

"Mungkin bukan senang mana-mana pemain datang terus main dapat keserasian dan persefahaman yang terbaik, tetapi kita faham Cools seorang pemain yang ada kefahaman taktikal bermain di peringkat tertinggi dan dari segi fizikal serta tahap keyakinan diri juga tinggi.

"Dia boleh galas tugasan terbabit dan kita harap dia boleh sesuaikan dengan cepat cara permainan pasukan dan juga cuaca selain perbezaan waktu juga penting buat mana-mana pemain beraksi," katanya.

Sementara itu, penjaga gol utama Harimau Malaya, Farizal Marlias menolak andaian kemasukan Cools pada saat akhir sebagai 'virus' pasukan sebaliknya menganggap kemunculan bintang yang beraksi di UCL bersama FC Midtjylland itu mampu memantapkan pasukan.

Jelas Farizal, semua 25 pemain yang sudah berkumpul lebih awal sejak beberapa minggu lalu menyambut baik kehadiran Cools yang cukup dikenali itu.

"Pemain menerima dia dengan tangan terbuka bagi saya, ia bukan untuk nak jadi virus kepada pasukan tapi untuk nak menambah baik kepada pasukan dari segi bahagian pertahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 7:01 AM