HAMIDIN (dua dari kiri) mengesahkan pemain ke-26 bakal diumumkan dalam masa terdekat sebaik pasukan kembali ke Dubai. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAMIDIN (dua dari kiri) mengesahkan pemain ke-26 bakal diumumkan dalam masa terdekat sebaik pasukan kembali ke Dubai. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dijangka bakal mengumumkan kehadiran pemain ke-26 yang difahamkan ketika ini sudah berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memperkuatkan pasukan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula Jumaat ini.

Difahamkan pemain baharu itu kemungkinan adalah tonggak kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang kini beraksi bersama kelab Denmark, FC Midtjylland.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi, namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pemain ke-26 bakal diumumkan dalam masa terdekat sebaik pasukan kembali ke Dubai, UAE daripada Manama, Bahrain.

"Sekarang waktu 8 pagi di Dubai, nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya," kata Hamidin dalam video ringkas sekali gus meninggalkan teka-teki status sebenar pemain baharu itu.

Sebelum ini, spekulasi kehadiran Cools tersebar di media sosial selepas Midtjylland mengeluarkan kenyataan pertahanan kanan itu mendapat panggilan kem Malaysia bagi mengharungi baki tiga aksi kelayakan itu.

Bagaimanapun, kelabnya kemudian memadam kenyataan berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan apakah perkara itu benar atau berlaku kesilapan teknikal.

Malah, ketika mendapatkan reaksi balas pengendali negara, Tan Cheng Hoe beliau enggan mengulas namun mengakui masih boleh menyenaraikan pemain ke-26 meskipun aksi pertama berdepan UAE Jumaat ini hanya berbaki empat hari.

"Setakat ini saya tak nak komen, masih lagi kita 25 pemain yang ada sekarang dan juga persiapan yang cukup penting untuk menghadapi UAE pada 3 Jun nanti.

"Mana-mana pemain boleh masuk (boleh disenaraikan) dan yang penting macam saya kata, 25 pemain yang kita bawa ini kita bagi tumpuan yang terbaik untuk lawan UAE nanti," kata Cheng Hoe.

Selain itu, ketika mendapatkan pandangan tonggak utama pasukan, Brendan Gan, dia menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan dengan fokus dan tumpuan barisan pemain untuk berdepan skuad The White.

"Tapi setakat ini saya tak dapat apa-apa informasi (pemain baharu), di mana kita di sini mahu fokus dan bersiap sedia untuk menentang UAE. Apa yang berlaku selepas ini ia tetap berlaku, namun buat masa ini pasukan hanya fokus dengan tugasan," kata pemain kacukan kelahiran Australia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 1:54 PM