Pemain pertahanan skuad Harimau Malaysia, Irfan Zakaria (kanan) ketika menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Ihsan FAM.
Pemain pertahanan skuad Harimau Malaysia, Irfan Zakaria (kanan) ketika menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Ihsan FAM.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika bercakap mengenai fizikal, sudah tentu skuad Harimau Malaya tidak mempunyai kelebihan terutama ketika menentang pasukan 'pak arab' yang diketahui berbadan lebih besar sekali gus begitu mudah mengatasi barisan pertahanan negara.

Walaupun, dilihat situasi terbabit antara halangan yang perlu ditempuhi namun bagi pertahanan negara, Irfan Zakaria sebenarnya perkara terbabit bukanlah masalah besar buat mereka kerana skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan lain terutama bersatu hati seterusnya berjuang habis-habisan apabila berada di atas padang.

Irfan yang juga pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC berkata, gandingan muka baharu dan lama dalam pasukan turut memainkan peranan memastikan skuad Harimau Malaya turun dengan pakej lengkap kelak.

Katanya, ketika ini perkara utama adalah memastikan setiap pemain mampu menggalas cabaran dengan mempamerkan aksi terbaik mereka apabila berada dalam senarai kesebelasan utama.

"Pendapat saya, kehadiran muka baharu seperti Guilherme De Paula, Junior Eldstar, Liridon Krasniqi dan beberapa pemain lain tidak mengganggu keserasian dan permainan pasukan.

"Walaupun jika dilihat fizikal pemain daripada pasukan lain seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE) lebih besar dan tinggi namun kita juga ada keistimewaan iaitu mempunyai satu jiwa dan hati ketika atas padang.

"Semua pemain bersedia memberikan aksi terbaik mereka dan percaya kejayaan bagi Malaysia jika bermain dengan satu hati," katanya.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berlepas ke Dubai esok dalam siri perlawanan persahabatan pertama menentang Kuwait.

Selepas menentang Kuwait, skuad kebangsaan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei dalam aksi persahabatan kedua yang juga perlawanan Kelas 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang berada di kedudukan kedua akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 10:29 PM