SAFAWI (dua dari kanan) ketika menjalani latihan di Dubai. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SAFAWI (dua dari kanan) ketika menjalani latihan di Dubai. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dikritik persembahan agak 'sendu' selepas pulang dari Portimonense selain kecederaan lutut dialami tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid sebelum ini dilihat hampir menutup peluang pemain itu untuk ke saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Namun, pemain Johor Darul Ta'im (JDT) itu berkenaan tidak mudah 'sentap' dengan memasang impian mahu membalas semua kritikan itu dengan mencipta kejutan seterusnya membuktikan kehadirannya dalam skuad kebangsaan adalah berbaloi.

Pemain yang terkenal dengan kehebatan kaki kirinya itu berkata, perkara utama sekarang ini adalah bersaing untuk merebut kesebelasan utama untuk membantu skuad kebangsaan meraih kejayaan kelak.

Safawi yang mula menyertai skuad Harimau Malaya lima tahun lalu berkata, barisan pemain kali ini adalah yang terbaik pernah disertainya sekali gus memerlukan keserasian dan kesefahaman untuk menambah 'rencah' dalam pasukan.

"Saya nak buktikan mampu beraksi dengan baik dan mengikut segala taktikal yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan.

"Sudah tentu apabila mengalami kecederaan terutama di bahagian lutut akan mengambil masa untuk pulih dan agak sukar mendapatkan prestasi terbaik.

"Dalam pasukan Harimau Malaya, semuanya akan menyokong antara satu sama lain dan pemain lama akan bantu pemain yang baru saja sertai pasukan," katanya.

Mengikut rekod, pada tahun 2019, Safawi beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Indonesia apabila menjaringkan dua gol untuk memastikan Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kumpulan G.

Safawi yang juga pemenang bagi Anugerah Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 itu di pinjamkan ke Kelab Portimonense SC berpengkalan di Portugal Oktober tahun lalu sebelum kembali ke pangkuan JDT.

Pasukan negara bakal mengharungi dua aksi pemanas badan apabila bertemu Kuwait esok dan akan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei.

Untuk rekod, bagi aksi kelayakan, skuad Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:02 PM