REXY berkata ada beberapa pemain remaja yang berpotensi untuk terpilih. FOTO NSTP
REXY berkata ada beberapa pemain remaja yang berpotensi untuk terpilih. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan setiap pemain yang terpilih membarisi skuad Piala Thomas kali ini perlu bersedia berdepan segala kemungkinan.

Peringatan Rexy itu selepas melihat beberapa situasi semasa agak memeningkan kepalanya termasuk status pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong yang mencetuskan resah kemungkinan tidak dapat menyertai skuad negara untuk acara berpasukan di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Rexy sebelum ini berkata Tze Yong perlu menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) serta bertemu doktor yang merawatnya, namun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan kecederaan belakang yang dialami pemain itu sebelum ini.

"Pengalaman saya bermula sebagai pemain sehingga jurulatih di Piala Thomas, siapa pun jurulatih yang ada dalam pasukan akan beritahu setiap individu dalam pasukan perlu mampu beraksi dalam apa juga disiplin.

"Jadi sesiapa sahaja harus bersedia, walaupun anda beraksi dalam acara beregu, sebab itulah ia dipanggil berpasukan.

"Seperti bola sepak, jika penjaga gol dilayangkan kad merah, pemain pertahanan atau sesiapa sahaja perlu mengambil tanggungjawab menggantikan tempatnya. Jadi sesiapa pun di dalam pasukan perlu bersedia sepenuhnya," katanya.

Jelas Rexy, seandainya Tze Yong tidak dapat beraksi, pihaknya masih boleh menggantikan tempat pemain berusia 23 tahun itu dengan pemain yang mempunyai ranking lebih rendah berbandingnya.

Ditanya siapakah calon terbaik untuk menggantikan tempat Tze Yong, Rexy berkata ada beberapa pemain remaja yang berpotensi untuk terpilih namun beliau tidak menolak Eogene Ewe adalah pilihan utama.

"Kalau lihat kepada situasi sekarang, Eogene adalah pilihan utama. Perubahan pemain boleh dilakukan ketika mesyuarat pengurus pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 6:53 PM