TZE Yong kini berada di ranking ke-18 dunia. FOTO ARKIB NSTP
TZE Yong kini berada di ranking ke-18 dunia. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencetuskan resah kemungkinan tidak dapat menyertai skuad negara ke Piala Thomas di Chengdu, China bermula 28 April hingga 5 Mei ini.

Ia selepas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain di ranking ke-18 dunia itu perlu menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) serta bertemu doktor yang merawatnya, hari ini.

Jelas Rexy, jurulatih Tze Yong, Hendrawan memaklumkan perkara itu hari ini, namun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan kecederaan belakang yang dialami pemain itu sebelum ini.

"Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai kedudukan sebenar Tze Yong untuk Piala Thomas, iaitu berdasarkan situasi semasanya, adakah dia layak atau tidak untuk main (di Piala Thomas).

"Sekarang berbalik kepada keinginannya kerana di pihak pengurusan dan jurulatih sudah melakukan yang terbaik untuknya. Jadi sekarang terpulang kepada pemain itu sendiri.

"Ia perlu keluar dari mulut pemain itu sendiri sama ada bersedia untuk bermain atau tidak. Kalau tidak, semua pihak termasuk pihak atasan akan keliru kerana pada akhirnya pemain yang melaksanakan tugas, bukan pihak pengurusan atau jurulatih.

"Untuk ketika ini, saya belum boleh cakap dia tak pergi (ke Piala Thomas) kerana kami belum terima laporan MRI dan belum dapat sebarang maklumat lebih lanjut," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Ditanya mengapa pihaknya tetap menyenaraikan Tze Yong untuk beraksi di Piala Thomas, Rexy berkata, beliau dimaklumkan Tze Yong sendiri ingin beraksi dalam kejohanan berpasukan itu.

"Semasa mesyuarat terakhir, jurulatihnya (Hendrawan) beritahu dia (Tze Yong) sendiri nak main.

"Hendrawan beritahu doktor di ISN (Institut Sukan Negara) sendiri keliru dengan situasi (kecederaan) Tze Yong sekarang," katanya.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudian menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, yang sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun minggu lalu, BAM mengumumkan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Selain Tze Yong, turut tersenarai adalah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 2:03 PM