HON Jian dan Haikal bergandingan semula di Piala Thomas.
HON Jian dan Haikal bergandingan semula di Piala Thomas.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian tidak mahu mensia-siakan peluang saat akhir terpilih membarisi skuad Piala Thomas negara pada kejohanan di Chengdu, China bermula Sabtu ini.

Hon Jian mengakui teruja mendapat panggilan itu, lebih-lebih lagi dapat bergandingan semula bersama Muhammad Haikal Nazri, yang lebih awal terpilih dalam skuad Piala Thomas kali ini.

"Memang sangat gembira terpilih kerana untuk kes saya, hanya dipilih pada saat akhir. Pada awalnya saya pun tak tahu (terpilih) kerana pasukan boleh buat pilihan sama ada mahu ambil pemain perseorangan atau beregu.

"Masa mula-mula Haikal terpilih pun saya tak fikir apa-apa sebab bagi saya kami semua adalah satu pasukan, tak boleh fikir perkara yang negatif. Sudah pasti saya akan berikan segala-galanya jika diberi peluang untuk beraksi," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Chengdu, semalam.

Meskipun terpilih pada saat akhir, Hon Jian berkata dia memperoleh pengalaman baharu terutamanya semangat tinggi dalam pasukan selepas dapat menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan lain.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sebelum ini dilaporkan terpaksa menggugurkan pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang perlu menjalani pembedahan tulang belakang kali kedua.

Beliau kemudian mengumumkan tempat pemain negara yang menduduki ranking ke-18 dunia itu akan digantikan dengan Hon Jian.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu sebelum menjalani pembedahan kali pertama.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudian menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, yang sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun BAM tetap mengumumkan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas sebelum akhirnya digugurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 1:04 PM