AARON (kanan) dan Wooi Yik sudah bersedia dan mampu menampilkan aksi terbaik di Kejohanan Dunia. FOTO AIZUDDIN SAAD
AARON (kanan) dan Wooi Yik sudah bersedia dan mampu menampilkan aksi terbaik di Kejohanan Dunia. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mampu atau tidak beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan badi kekalahan di separuh akhir hanya akan terjawab apabila mereka turun beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun bermula Isnin ini.

Aaron-Wooi Yik kini masih lagi memburu kejuaraan sulung bagaimanapun sudah bersedia mempertaruhkan aksi terbaik dalam usaha untuk menghapuskan badi berkenaan.

Pastinya kedua-dua pemain itu mahu tidak mahu episod enam kekalahan dalam aksi kelompok empat terbaik tahun ini berulang.

Mereka turut tewas di separuh akhir termasuk di peringkat individu di Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini.

Begitupun Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, beliau percaya Aaron-Wooi Yik sudah bersedia dan mampu menampilkan aksi terbaik.

"Selepas mereka pulang dari Komanwel, mereka menunjukkan sikap positif ketika sesi latihan. Ia mampu untuk menjadi motivasi terbaik untuk menghadapi cabaran dan perlawanan yang akan diharungi nanti.

"Tapi bukan Aaron-Wooi Yik saja, saya harap semua pemain beregu kita dapat buat yang terbaik di Tokyo nanti," katanya.

Begitupun berdasarkan pencapaian, rekod beregu negara itu di Kejohanan Dunia juga tidak memihak kepada mereka yang menyaksikan mereka tewas di pusingan kedua pada edisi 2019 dan terkandas di pusingan ketiga tahun lalu.

Pada penampilan sulung mereka pada 2018 menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya mara sehingga ke suku akhir.

Di Tokyo, Aaron-Wooi Yik yang mendapat bye di pusingan pertama diramal bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan kedua sebelum dijangka bertemu rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei jika masing-masing layak ke pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 8:41 PM