AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan slot ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menumpaskan pasangan Jerman, sebentar tadi.

Aaron- Wooi Yik tidak perlu berhempas pulas untuk menewaskan Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada aksi di Arena Porte de la Chapelle di Paris apabila lawan menarik diri ketika perlawanan set pertama terikat 12-12 berikutan Lamsfuss mengalami kecederaan.

Pada edisi lalu, Aaron-Wooi Yik menarik diri daripada saingan Terbuka Perancis, dua hari selepas kejayaan mereka merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Terbuka Denmark.

Di pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Terdahulu, Fang Chih-Fang Jen mara ke pusingan kedua selepas menewaskan satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, 21-19, 21-17.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terkandas di pusingan pertama kejohanan kali ini selepas tewas di tangan pemain nombor sembilan dunia dari China, Wang Zhi Yi 10-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 10:35 PM