ZII Jia ambil masa 39 minit tewaskan Jonatan.
ZII Jia ambil masa 39 minit tewaskan Jonatan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia melupakan segala isu membabitkan dirinya apabila berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.

Ia selepas pemain yang menduduki ranking ke-13 dunia itu menewaskan pilihan kelima yang juga jaguh Indonesia, Jonatan Christie 21-13, 21-15 dalam tempoh 39 minit.

Pada perlawanan yang berlangsung di Royal Arena itu, Zii Jia dilihat mempamer aksi cukup meyakinkan dan tidak memberi peluang kepada Jonatan untuk bangkit di set kedua.

Ia juga kemenangan keempat berturut-turut diraih Zii Jia ke atas lawannya itu sekali gus rekod pertemuan terikat empat sama sepanjang lapan pertemuan antara mereka.

Zii Jia yang kini dibimbing Wong Tat Meng akan bertemu pemain Kanada, Brian Yang pada pusingan kedua.

Sebelum ini, Tat Meng menerusi hantaran di Instagram miliknya kurang senang selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi persiapan ke Kejohanan Dunia.

Sementara itu, pemain perseorangan profesional wanita negara, S Kisona gagal meneruskan kemaraan apabila tewas 22-20, 19-21, 13-21 kepada pemain Taiwan, Pai Yu Po di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 10:20 PM