ZII Jia akan bertemu pemain India, Srikanth Kidambi di pusingan kedua Terbuka Switzerland, esok. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia akan bertemu pemain India, Srikanth Kidambi di pusingan kedua Terbuka Switzerland, esok. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menepati status selaku pilihan pertama Terbuka Switzerland apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.

Pemain yang menduduki ranking ke-10 dunia itu mengatasi lawan dari Taiwan, Su Li Yang 21-19, 21-12 dalam tempoh 42 minit di pusingan pertama, hari ini.

Untuk rekod, ini adalah pertemuan kali pertama Zii Jia menentang lawannya yang menduduki ranking ke-30 dunia itu.

Pada pusingan kedua, Zii Jia akan bertemu pemain ranking ke-27 dunia, Srikanth Kidambi selepas wakil India itu mengatasi seorang lagi pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 21-17, 21-18 di pusingan pertama.

Rekod pertemuan nyata memihak kepada Zii Jia yang menang empat daripada lima pertemuan dengan Kidambi dengan kali terakhir jaguh perseorangan negara mengatasi lawannya yang berusia 31 tahun itu adalah pada Masters Indonesia, Januari lalu.

Zii Jia mengharapkan keputusan positif di saingan berstatus Super 300 itu selepas impiannya untuk mara sehingga ke separuh akhir Seluruh England minggu lalu tidak kesampaian.

Ia selepas juara edisi 2021 itu kandas di suku akhir apabila tewas di tangan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari India, Lakshya Sen.

Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran juara dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Switzerland adalah menerusi bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 8:39 PM