AKSI Zii Jia ketika menentang Angus. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang Angus. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Juara bertahan Kejohanan Badminton Asia (BAC), Lee Zii Jia menerima tamparan apabila tumbang seawal pusingan pertama pada saingan yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi tadi.

Perseorangan profesional negara yang juga pilihan ketiga kejohanan itu tidak mempunyai jawapan untuk menafikan kemenangan lawannya dari Hong Kong, Ng Ka Long Angus apabila tewas straight set 19-21, 16-21.

Angus yang ketika ini menduduki ranking ke-17 dunia dan masih segar memenangi Terbuka Jerman bulan lalu, hanya memerlukan tempoh 39 minit untuk menewaskan Zii Jia.

Ia perlawanan ketiga membabitkan kedua-dua pemain itu dan kini rekod memihak kepada Angus yang sudah meraih dua kemenangan.

Pada edisi tahun lalu di Manila, Filipina, Zii Jia muncul juara Asia buat kali pertama selepas menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie di pentas final.

Sementara itu, nasib berbeza dialami beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila berjaya mara ke pusingan kedua.

Pasangan negara yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan itu bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan gandingan Indonesia, Carnando-Daniel Marthin 19-21, 21-19, 22-20.

Tewas di set pertama, Aaron-Wooi Yik tampil bertenaga dan lebih tenang di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum melakar kemenangan mutlak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 9:00 AM