ZII Jia menewaskan Tze Yong di pusingan pertama Masters China, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia menewaskan Tze Yong di pusingan pertama Masters China, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui tahun ini adalah cukup sukar untuknya terutama dalam usaha mengembalikan semula tahap keyakinannya.

Terdahulu, Zii Jia yang menduduki ranking ke-11 dunia, terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan rakan senegara, Tze Yong 21-15, 20-22, 21-17 pada pusingan pertama Masters China, hari ini.

Kemenangan terbaru di Gimnasium Shenzen Bay dalam tempoh satu jam 15 minit itu adalah kali ketiga diraih Zii Jia sepanjang tiga pertemuan dengan Tze Yong.

Kemenangan itu pastinya melegakan Zii Jia yang menerima kritikan hebat sejak akhir-akhir ini apabila muncul satu-satunya atlet negara yang menolak untuk menyertai program Road To Gold (RTG) disusuli tersingkir seawal pusingan pertama Masters Jepun, minggu lalu.

"Kejohanan ini adalah yang terakhir pada musim ini dan saya hanya cuba sehabis baik. Seperti yang anda dapat lihat, tahun ini bukanlah tahun yang baik untuk saya.

"Sejak awal tahun lagi prestasi saya tidak bagus dan dalam beberapa kejohanan terakhir, saya cuba mendapatkan semula tahap keyakinan diri.

"Saya perlu meraih tahap keyakinan terbaik secepat mungkin," kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Jelas Zii Jia, selain baru berlatih di bawah bimbingan Wong Tat Meng, faktor keletihan melalui banyak kejohanan pada tahun ini sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya.

"Saya baru mempunyai jurulatih sejak beberapa bulan lalu. Saya dan jurulatih bekerja keras terutama untuk memperkemaskan strategi di atas gelanggang.

"Dia (Tat Meng) mahu menjadikan saya seorang pemain yang boleh beraksi dalam semua situasi.

"Saya melalui jadual yang agak gila, rasanya sepanjang karier saya, musim ini adalah kejohanan paling banyak saya sertai," katanya.

Pada pusingan kedua nanti, Zii Jia akan bertemu pemain tuan rumah, Lu Guang Zu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 4:21 PM