ZII Jia mahu kekalkan momentum pada perlawanan seterusnya.
ZII Jia mahu kekalkan momentum pada perlawanan seterusnya.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memadam keraguan ramai terhadap kemampuannya apabila berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka India.

Menariknya jaguh badminton negara itu menumbangkan sensasi Indonesia, Jonatan Christie yang juga pilihan kelima kejohanan menerusi keputusan straight set 21-15, 21-13 pada pusingan kedua di Dewan Tertutup K D Jadhav di New Delhi, hari ini.

Ia menyaksikan rekod pertemuannya dengan Jonatan terikat 5-4 dengan Zii Jia memenangi lima perlawanan terakhir pertembungan antara mereka berdua.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia ketika ini dan tewas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu berkata, Jonatan masih kekal seorang pemain yang bagus.

"Dia pemain kedua terbaik Indonesia. Kami pun sudah bermain banyak kali menentang antara satu sama lain dan sudah tahu mengenai permainan masing-masing.

"Dalam perlawanan, sudah tentu ada yang menang dan kalah. Saya hanya fokus aksi di dalam gelanggang dan mengikut semua yang diajar oleh jurulatih (Wong Tat Meng), saya harap boleh kekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya.

"Ia permulaan sukar untuk saya pada awal saingan tahun lalu, tetapi kali ini saya berjaya melangkah ke suku akhir. Jadi, saya fikir ia permulaan yang baik untuk tahun dan musim yang baharu," kata Zii Jia menerusi rakaman temu bual yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada gandingan China yang juga pilihan kelapan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-19, 17-21, 17-21 pada pusingan kedua, hari ini.

Nasib sama juga menimpa beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila tewas straight set 16-21, 13-21 kepada pilihan keempat dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 8:24 PM