AKSI Zii Jia ketika di Masters Malaysia minggu lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
AKSI Zii Jia ketika di Masters Malaysia minggu lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak mahu menekan butang panik walaupun prestasinya ketika ini dikatakan tidak menentu.

Bekas juara Asia itu berkata, dia melihat situasi yang melanda dirinya ketika ini termasuklah rankingnya jatuh ke kedudukan ke-10 adalah 'sementara' sebelum bangkit pada kejohanan akan datang.

Katanya, menerusi bantuan daripada beberapa pihak dan kehadiran jurulatih baharu, Wong Tat Meng mampu memberikannya kekuatan untuk berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Saya akan kembali bangkit dan berada di sana (kelompok teratas dunia) menerusi sokongan banyak pihak untuk kembali berada pada prestasi terbaik," katanya.

Mengikut rekod, Zii Jia pernah menghuni ranking nombor dua dunia pada Oktober tahun lalu iaitu tertinggi dalam kerjayanya sebelum jatuh ke kedudukan keempat, Januari lalu diikuti tangga kelapan awal bulan ini dan ke-10 sejak dua minggu lalu.

Kejatuhan ranking pemain berusia 25 tahun itu berpunca daripada prestasi tidak menentunya dalam saingan musim ini yang menyaksikan dia beberapa kali tersingkir di pusingan awal termasuklah ketika saingan Masters Malaysia, minggu lalu yang menyaksikan dia tewas di pusingan kedua.

Pencapaian terbaiknya tahun ini adalah dua kali mara ke separuh akhir iaitu di Seluruh England dan Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Namun pelantikan Tat Meng selepas bergerak secara solo selama enam bulan diyakini akan kembali melonjakkan prestasinya terutama dalam mengharungi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain itu, Zii Jia berkata, dia kemungkinan akan menyertai latihan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selain turut ke luar negara untuk mempertingkatkan lagi prestasi menjelang Olimpik Paris.

"Saya juga merancang untuk menyertai latihan dengan BAM dan menggunakan fasiliti yang mereka ada. Perkara ini semua akan dibincangkan lagi apabila Tat Meng memulakan tugasnya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 3:05 PM