NOVA pernah muncul juara dunia 2005 dan 2007 bersama bersama Liliyana. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
NOVA pernah muncul juara dunia 2005 dan 2007 bersama bersama Liliyana. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan bekas juara dunia dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik dari Indonesia, Nova Widianto sebagai jurulatih beregu campuran negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BAM memberitahu, Nova, 45, akan diberikan kontrak selama dua tahun berkuatkuasa Januari 2023 untuk mengendalikan pemain beregu campuran kebangsaan.

"Nova akan melapor diri kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky.

"Pemain beregu campuran kebangsaan sangat teruja dengan kehadiran jurulatih berkarisma itu untuk membantu mereka," tulis kenyataan itu.

Untuk rekod, Nova pernah muncul juara dunia 2005 dan 2007 bersama bersama Liliyana Natsir, selain turut meraih pingat perak Sukan Olimpik 2008.

Dalam pada itu Rexy berkata, pengalaman dan kepakaran Nova sangat ditagih oleh BAM dalam misi untuk gandingan beregu campuran negara layak ke Sukan Olimpik 2024.

"Pengalaman dan kepakaran Nova dalam beregu campuran amat penting dalam usaha memastikan pemain beregu campuran memungut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan kejohanan bagi memungut mata kelayakan ke Sukan Olimpik bermula Mei tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:56 PM