REXY (tengah) ketika sidang media skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. FOTO Aswadi Alias
REXY (tengah) ketika sidang media skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mendedahkan mahu menjaga ranking pemainnya dahulu tanpa memikirkan kelayakan ke Olimpik.

Perkara itu dimaklumkan Rexy ketika sidang media pra kejohanan Terbuka Malaysia di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

"Kalau diikutkan, kedudukan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada dalam kedudukan kelayakan selamat, tapi saya tak mahu terlalu yakin dulu.

"Kita masih jaga mata permainan. Tahap Super 300 pun kita masih buru, tapi tak mahu terlalu yakin kerana pemain di tahap Super 100 juga ada potensi untuk kejar mata tersebut," katanya.

Menurutnya, mereka akan fokus menjaga mata kelayakan dahulu dan mungkin akan sertai kejohanan hingga ke Thailand kerana ia boleh menjadi mata tambahan yang banyak untuk mereka.

Rexy turut mengharapkan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuat persiapan pada bahagian stamina yang mampu membantu mereka mencatat keputusan cemerlang di Terbuka Malaysia minggu depan.

"Prestasi tahun lepas agak menurun sedikit kerana dapat dilihat permainan pada tahap permulaan sangat bagus, tetapi kemudian menurun akibat kekuarangan stamina.

"Namun, setakat ini pemain sudah bersiap sedia dan semakin bertambah baik menerusi komitmen semasa latihan disediakan. Persediaan lebih bagus ini mampu mendapatkan mata kemenangan buat kita," katanya.

Tambahnya, jika Tan Jie dan Ee Wei sudah 90 peratus menjamin tempat di temasya Olimpik itu, mereka sudah tentu mampu menyasarkan kedudukan empat teratas.

"Kita mungkin akan lihat daripada aset sedia ada dan berbincang dengan Nova Widianto, supaya 'seeding' yang diharapkan sebelum ini dapat direalisasikan.

"Namun, sasaran awal daripada Nova perlu realistik. Maksudnya, apa yang kita harapkan sebelum 'seeding' dan kejohanan terakhir adalah Tan Jie dan Ee We sampai ke tahap Super 1000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 5:52 PM