Tang Jie-Ee Wei mahu ikut jejak Rexy, Nova. -FOTO NSTP
Tang Jie-Ee Wei mahu ikut jejak Rexy, Nova. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sedia mengikut jejak langkah kedua-dua jurulatih mereka, Rexy Mainaky dan Nova Widianto yang meraih pelbagai kejayaan di peringkat tertinggi ketika bergelar pemain.

Menurut Tang Jie yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-26, kelmarin, dia masih belum puas hati dengan kejayaan yang diraih setakat ini dan mahu manfaatkan sebaiknya untuk terus mengorek ilmu daripada kedua-dua jurulatih berkenaan yang dilabel sebagai legenda.

"Saya belum berpuas hati lagi dengan pencapaian sekarang. Kalau mahu dibandingkan dengan pencapaian kedua-dua jurulatih saya ini, apalah sangat berbanding apa yang saya capai ketika ini," katanya.

Ujar pemain kelahiran Perak itu, dia mahu menjadi jadi seperti Nova dan Rexy dan perlu belajar lebih banyak lagi daripada jurulatih Indonesia itu.

"Saya harap mereka tidak keluar daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia)," kata Tang Jie.

Rexy yang menggalas tanggungjawab selaku Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) berjaya memenangi pingat emas beregu lelaki Sukan Olimpik Atlanta 1996 bersama pasangannya Ricky Subagja selain mereka turut muncul juara dunia 1995.

Nova pula yang bergelar jurulatih beregu campuran negara dua kali memenangi gelaran dunia acara itu bersama Liliyana Natsir pada 2005 dan 2007 selain mereka turut meraih pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008.

Dalam pada itu, Tang Jie-Ee Wei berazam untuk terus melakar kejayaan bersama pada musim 2024 selepas mempamerkan peningkatan prestasi mendadak pada 2023.

Kedua-dua pemain itu berjaya mendaki ke kedudukan ranking nombor sembilan dunia dalam tempoh hanya setahun sejak digandingkan pada hujung 2022.

Pasangan itu juga berjaya merekodkan dua gelaran juara dalam saingan Jelajah Dunia Super 300 dengan menjuarai Terbuka Taiwan dan Masters Orleans di Perancis.

Tang Jie-Ee Wei memulakan cabaran musim dengan penampilan di Terbuka Malaysia yang dijadual bermula Selasa ini.

Mereka akan membuka tirai aksi menentang wakil Perancis yang juga pasangan ranking ke-11 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue pada pusingan pertama.

"Tahun ini, kami perlu bekerja lebih keras kerana ia tidak mudah buat kami dengan kehadiran semua pasangan utama dunia. Kami perlu berjuang habis-habisan dan berikan yang terbaik," kata Tang Jie yang terpaksa akur terkandas di suku akhir edisi tahun lalu selepas dia dan Ee Wei tunduk di tangan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 12:11 PM