AKSI Valeree  dan Tang Jie ketika menentang beregu Jerman. FOTO Bernama
AKSI Valeree dan Tang Jie ketika menentang beregu Jerman. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semuanya disebabkan Valeree. Itu pengakuan penuh jujur pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie selepas dia dan Valeree Siow melakar kejutan dengan mengetepikan pilihan kelapan dari Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau di pusingan pertama Masters Malaysia sebentar tadi.

Walaupun mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-11, Tang Jie jelas sekali kecewa dengan corak permainan yang ditampilkan hari ini terutama di awal saingan.

"Saya rasa hari ini, pasangan saya (Valeree) yang mengetuai perjuangan kami. Dia memberi keyakinan kepada saya terutama ketika di awal permainan selepas membuat banyak kesilapan dan mudah menghadiahkan mata kepada pihak lawan.

"Apabila saya main tidak bagus, kurang konsisten dia hadir memberi motivasi dan sokongan kepada saya. Sebelum ini selalu saya cakap saya seperti senior dan abang kepadanya tapi kali ini saya rasa dia adalah pemain paling bernilai," kata Tang Jie selepas perlawanan tamat.

Sementara itu, Valeree mengakui dia turun ke gelanggang tanpa memikirkan kedudukan ranking pasukan lawan dan hanya mahu memberikan permainan terbaik serta menterjemahkan apa yang dipelajari sebelum ini.

Tang Jie-Valeree bakal berdepan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran yang sebelum itu mengalahkan Zachariah Josiahno Sumanti-Hediana Julimarbela 21-18, 21-16.

Turut mara bagi acara beregu ialah Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei yang mengalahkan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan, 23-25. 21-8, 21-7.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah pilihan keempat dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Sementara itu, gandingan Chan Peng Soon-Cheah Yee See tidak berdepan masalah mengalahkan wakil Brazil, Fabricio Farias-Jaqueline Lima 21-12, 21-15 dan mereka akan menghadapi satu lagi pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong yang juga pilihan kedua kejohanan.

Gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara apabila mengetepikan rakan senegara, Choong Hon Jian-Peck Yen Wei 21-13, 22-20 dan mereka bakal berdepan wakil Indonesia, Hafiz Faizal-Serena Kani yang mengalahkan satu lagi pasangan negara, Soong Joo Ven-Goh Liu Ying 19-21, 21-15, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 8:20 PM