PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura. FOTO FATHIL ASRI
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengetuai cabaran skuad badminton mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura, hari ini.

Tze Yong membuktikan tiada yang mustahil untuk menewaskan pemain di ranking jauh lebih tinggi apabila menundukkan pemain di ranking ke-12 dunia dari Hong Kong, Ng Ka Long 21-16, 21-17.

Kemenangan itu mampu menjadi pembakar semangat berharga buat Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-47 dunia dalam persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kemenangan itu menyaksikan dia yang dibimbing Hendrawan akan bertemu seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.

Turut mengiringi jejak Tze Yong ke pusingan kedua adalah empat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Tang Jie-Valeree terlebih dahulu mara selepas menewaskan wakil dari New Zealand, Oliver Leydon Davis-Anona Pak 21-14, 21-14 dan akan bertemu beregu Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tsz You bagi merebut tempat ke suku akhir.

Pang Ron-Ee Wei menewaskan Jones Ralfy Jansen-Linda Efler dari Jerman 23-21, 21-16 untuk bertemu pilihan kelapan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, esok.

Manakala Peng Soon-Yee See menyingkirkan rakan senegara, Soong Joo Ven-Goh Liu Ying 21-14, 21-18 dan dijangka berdepan ujian sebenar apabila menentang pilihan ketiga dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dua lagi beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dan Choong Hon Jian-Peck Yen Wei apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 5:32 PM