PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Gambar ihsan BAM
PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Gambar ihsan BAM
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto masih belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkan Chen Tang Jie selepas dia serta pasangannya, Toh Ee Wei berjaya melepasi pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini di Tokyo.

Pasangan negara menduduki ranking ke-14 dunia itu mengatasi lawan yang menduduki ranking kesembilan dunia dari Belanda, Robin Tabeling-Selesa Piek menerusi keputusan 21-15, 21-18.

Minggu lalu, gandingan negara itu tumbang seawal pusingan pertama Terbuka Korea selepas tewas kepada rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

"Hari ini Tang Jie tidak beraksi dengan baik tapi kami gembira kerana mereka masih mampu meraih kemenangan pada pusingan pertama selepas kekalahan di Terbuka Korea," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun laluan cukup getir bakal diharungi beregu negara itu apabila akan bertemu pasangan ranking pertama dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada pusingan kedua.

Mengikut rekod, kedua-dua beregu itu tidak pernah bertemu sekali gus ia adalah peluang terbaik untuk Tang Jie-Ee Wei membuktikan kemampuan mereka.

"Perkara paling penting untuk mereka adalah perlu sentiasa mempunyai keyakinan tinggi kerana saya yakin Tang Jie-Ee Wei mempunyai kemampuan itu.

"Pergerakan bola di sini agak berat dan mereka harus sentiasa berwaspada berdepan segala kemungkinan termasuk merasai kepenatan," kata Widianto.

Turut mara ke pusingan kedua adalah beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan wakil China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-11, 9-21, 21-19.

Satu lagi pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See juga meneruskan kemaraan selepas menewaskan pilihan kelapan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-18, 21-18.

Beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melengkapkan hari sempurna wakil negara apabila menewaskan wakil Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-15, 21-18 untuk mara ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 2:36 PM