BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie (kiri) dan Peck Yen Wei bersama pingat emas dimenangi di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu. FOTO ARKIB NSTP
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie (kiri) dan Peck Yen Wei bersama pingat emas dimenangi di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas badminton beregu campuran Sukan Sea Hanoi, Chen Tang Jie mengharapkan masih mempunyai persefahaman mantap bersama gandingan asalnya, Peck Yen Wei apabila mereka beraksi di Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, minggu depan.

Tang Jie yang sekarang ini bergandingan bersama Valeree Siow, akan kembali berpasangan dengan Yen Wei untuk kejohanan itu apabila Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menarik diri.

Mereka yang sebelum ini berada dalam senarai simpanan kedua untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia selepas menduduki ranking ke-30, layak selaku pasangan keempat terbaik negara.

Ujar Tang Jie, ia bukan satu masalah untuk kembali bergandingan bersama Yen Wei selepas kedua-duanya sudah empat tahun bersama dan hanya perlu mencari semula rentak di dalam latihan.

"Saya rasa kami sudah empat tahun bergandingan, mungkin sedikit berbeza kali ini apabila hanya seorang jurulatih sahaja memantau skuad beregu campuran. Jadi latihan agak berlainan. Apapun kita akan cuba cari prestasi terbaik sebelum kejohanan bermula.

"Saya rasa hingga ke hari ini, latihan lebih tertumpu kepada intensiti tinggi dan badan saya masih terasa kepenatan. Mungkin Khamis (esok) kami akan fokus kepada dua atau tiga sesi strategi pula," katanya.

Ditanya mengenai penampilan pertama ke kejohanan berkenaan, pemain berusia 24 tahun itu mengakui dia berasa sangat teruja terutama selepas prestasinya sejak kebelakangan ini berada pada tahap terbaik sama ada ketika bergandingan bersama Yen Wei atau Valeree.

"Prestasi saya lebih baik berbanding beberapa tahun lalu. Jadi untuk penampilan pertama di Kejohanan Dunia ini, saya harap mampu memberikan persembahan cemerlang.

"Memang ada perasaan gementar terutama perlu berdepan dengan Wang Yilyu-Huang Dongping (China) yang juga juara Olimpik di pusingan kedua. Bagaimanapun, saya harus percaya kepada diri sendiri bahawa kami mampu untuk meloloskan diri ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sebelum berdepan pasangan nombor empat dunia itu, Tang Jie-Yen Wei harus melepasi dahulu halangan wakil Amerika Syarikat (AS), Mathew Fogarty-Isabel Zhong di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 1:37 PM