TIDAK dinafikan ada pemaju   mengambil tanggungjawab dan membetulkan masalah semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP).
TIDAK dinafikan ada pemaju mengambil tanggungjawab dan membetulkan masalah semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP).
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bagi rata-rata rakyat Malaysia, memiliki sebuah hartanah adalah impian yang menjadi kenyataan namun, sesetengah insan impian hanya tinggal impian ekoran harga yang kian meningkat melangkaui kemampuan mereka.

Impian memiliki hartanah boleh bertukar mimpi ngeri dalam sekelip mata bagi sesetengah orang, hanya sejurus menerima notis serahan milikan kosong (VP) manakala sesetengah yang lain, beberapa bulan kemudian.

Sebilangan besar hartanah yang dijual di Malaysia ditawarkan keperluan asas yang tidak lengkap dan pembeli perlu membuat pengubahsuaian sendiri – seperti membina dapur – sebelum boleh diduduki dan akhirnya menjadi sebuah kediaman.

Pastinya, semua ini memerlukan kos tambahan.

Contohnya di kawasan Lembah Klang, sebuah unit pangsapuri mampu milik ditawarkan pada harga minimum RM300,000 manakala kerja-kerja pengubahsuaian asas boleh menelan belanja sekitar RM20,000 atau lebih.

Itu belum lagi ditambah dengan kos tersembunyi seperti deposit dan caj utiliti, insurans rumah, cukai hartanah, yuran penyelenggaraan dan kumpulan wang pelepas bagi hartanah strata atau hartanah komuniti berpagar.

Dari sinilah bermulanya igauan ngeri.

Walaupun membayar sejumlah harga yang besar, ramai rakyat Malaysia akhirnya mengalami kerosakan unit ekoran mutu kerja yang rendah dan terpaksa menanggung akibat daripada pembangunan cincai-cincai oleh pemaju.

Tidak dinafikan ada pemaju yang mengambil tanggungjawab dan membetulkan masalah semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP) namun, malangnya ada yang tidak mementingkan kebertanggungjawaban malah ada yang lebih teruk apabila 'buta' terhadap aduan pemilik.

Sehabis daya pejabat penyelenggaraan pemaju mungkin melakukan pembaikan sekali sahaja namun, masalah utama berkaitan isu struktur tidak pernah diselesaikan.

Masalah sedemikian menjejaskan semua jenis hartanah, daripada kediaman mewah oleh syarikat pemaju terkemuka sehinggalah kepada projek perumahan kos rendah yang dibangunkan menerusi program tajaan kerajaan.

Banyak rungutan yang timbul – melibatkan pendawaian tidak menepati piawaian, mutu kerja yang teruk, pelbagai keretakan dan kebocoran air – masalah lazim yang dihadapi pemilik rumah.

Sebilangan pemaju mengambil jalan enteng menyalahkan keadaan cuaca melampau, sedangkan situasi itu mungkin terpakai untuk rumah yang dibina beberapa dekad lepas, bukannya yang dibina sekurang-kurangnya dalam 10 hingga 15 tahun.

Ironinya bangunan berusia berdekad-dekad kelihatan tersergam dalam keadaan tegap, baik dan tidak mudah rosak seumpama batuan pejal.

Penulis turut memahami dilema pemilik rumah memandangkan penulis sendiri bergelut dalam menyelesaikan masalah hartanah yang dibeli daripada pemaju terkenal.

Sudahlah sistem pendingin hawa rosak, pendawaian pula berkualiti rendah ditambah dengan mutu kerja sangat teruk menjadi antara masalah yang dihadapi sejak keluarga berpindah ke unit itu pada 2020.

Seorang pegawai kanan dari syarikat pemaju perumahan itu secara terbuka mengakui projek tersebut merupakan projek bermasalah.

Begitulah sahaja ungkapannya. Tidak ada jalan lain dan tiada tindakan lanjut diambil pemaju untuk memulihkan keadaan dengan membaiki pangsapuri sedangkan pembeli terus menderita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 8:38 AM