BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai mara ke suku akhir Masters Malaysia. FOTO FATHIL ASRI.
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai mara ke suku akhir Masters Malaysia. FOTO FATHIL ASRI.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas satu demi satu beregu campuran negara kecundang, gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai muncul penyelamat apabila meloloskan diri ke suku akhir Masters Malaysia apabila mengalahkan wakil Indonesia, Hafiz Faizal-Serena Kani, petang ini.

Mereka mengambil masa 39 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-17 dan bakal berdepan pilihan kedua dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, esok.

Ditanya sama ada mereka tertekan selepas tiga pasangan negara tumbang sebelum mereka masuk gelanggang, Soon Huat mengakui setiap perlawanan mempunyai tekanan tersendiri.

"Memang semua hendak melihat kami mencatat kemenangan. Apabila wakil Malaysia turun bermain, penonton di stadium akan memberi sokongan, jadi kami gembira dapat mencatat kemenangan.

"Malah, saya terpaksa menenangkan Shevon pada awal permainan selepas dia dilihat sedikit keliru dan hilang sentuhan.

"Pada set pertama saya perlu menunggu lama untuk melihat Shevon kembali kepada tahap permainannya. Saya memberi sokongan dan dalam pada itu melakukan tugasan saya dengan baik terutama dari segi kawalan bulu tangkis serta permainan mantap," kata Soon Huat.

Menjelang aksi esok, Shevon berkata, mereka sekali lagi mempunyai peluang untuk menamatkan badi ketika berdepan Si Wei-Ya Qiong selepas enam pertemuan sebelum ini berakhir dengan kegagalan.

"Esok sekali lagi kami mempunyai peluang untuk berdepan mereka.

"Ia peluang kami melihat di mana tahap kemampuan untuk menamatkan badi kalah dengan mereka," katanya.

Sebelum Soon Huat-Shevon turun beraksi, tiga pasangan negara berputih mata dengan Chen Tang Jie-Valeree Siow tumpas 10-21, 12-21 kepada pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei pula terpaksa akur kepada pilihan keempat dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 16-21, 16-21, manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See kalah kepada lawan dari negara sama, Si Wei-Ya Qiong 11-21, 13-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 4:03 PM