PAN Ron-Ee Wei mara ke suku akhir Terbuka Singapura.
PAN Ron-Ee Wei mara ke suku akhir Terbuka Singapura.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atas kertas beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei memang kelihatan sangat kerdil namun hari ini mereka berjaya membuktikan bahawa pilihan kelapan, Mathias Christiansen-Alexandra Boje boleh menjadi 'santapan' selepas menyingkirkan pasangan Denmark itu di pusingan kedua Terbuka Singapura.

Tidak perlu sehingga membawa aksi ke rubber set cukup dengan kemenangan straight set 21-11, 21-19 bagi membolehkan Pang Ron-Ee Wei mara ke suku akhir esok.

Kemenangan itu membuktikan Pang Ron-Ee Wei semakin serasi walaupun baru digandingkan bulan lalu dan berjaya mara ke suku akhir buat kali kedua selepas kali pertama melakukannya di Terbuka Indonesia.

"Hari ini perlawanan sangat sukar buat kami. Mereka pemain pilihan dan saya rasa beregu 10 terbaik dunia, selain banyak pengalaman berbanding kami. Kami melakukan banyak perbincangan dengan jurulatih. Kami hanya perlu fokus dengan permainan kami. Jadi kami gembira akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan. Kami akan terus fokus untuk aksi seterusnya esok," kata Ee Wei.

Ditanya mengenai aksi penghujung set kedua, pemain kelahiran Melaka itu berkata, dia memberitahu Pang Ron mereka harus fokus untuk mata terakhir tatkala Christiansen-Alexandra cuba untuk mengejar dan mengheret aksi ke rubber set.

"Itu yang bermain di fikiran saya dan memberitahu Pang Ron bahawa kita harus yakin. Kami bermain dengan mengerah segala kudrat yang ada, memberikan segala-galanya," kata Ee Wei. Di suku akhir mereka akan berdepan pasangan China, Guo Xin Wa-Zhang Shu Xian yang sebelum itu menumpaskan Yujiro Nishikawa-Saori Ozaki dari Jepun 22-20, 21-15.

Sementara itu, pilihan ketujuh yang juga beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 10-21, 21-18, 21-10.

Mereka berdepan cabaran berliku esok apabila menentang pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang sebelum itu mengalahkan Hafiz Faizal-Serena Kani 21-16, 21-10.

Turut mara ke suku akhir ialah Chen Tang Jie-Valeree Siow yang mengalahkan satu lagi gandingan Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau 21-13, 21-7.

Bagaimanapun, Chan Peng Soon-Cheah Yee See terkandas apabila kalah kepada pilihan ketiga dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 21-19, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 1:18 PM