SAYED Hesham. FOTO Arkib NSTP
SAYED Hesham. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) satu daripada platform bagi pengamal media untuk menyuarakan pelbagai pendapat atau permasalahan yang dihadapi, selain menghargai jasa serta sumbangan penulis berita kepada masyarakat dan negara.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) Sayed Hesham Syed Idris mencadangkan supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terutama bagi wartawan sambilan atau stringer dapat diperincikan dalam perhimpunan terbesar pengamal media berkenaan dan seterusnya dilaksanakan.

"Selain itu, perlu dipertimbangkan insentif khas seperti kemudahan rawatan kesihatan serta bantuan persekolahan untuk anak-anak pengamal media yang memerlukan.

"Perkara-perkara berkaitan kebajikan media yang dicadangkan pada Hawana tahun lepas perlu dilaksanakan dan jika ada yang sudah dilaksanakan, ia perlu diperkemas lagi," katanya kepada Bernama.

Sayed Hesham berkata, walaupun berstatus wartawan sambilan, mereka juga ialah kelompok penting dalam dunia kewartawanan hari ini.

Senada dengan Sayed Hesham ialah Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak Rosli Mansor Ahmad Razali yang berharap Hawana dapat membantu menyelesaikan masalah dialami oleh pengamal media di negara ini.

"Kita tidak mahu Hawana dilihat sebagai acara tahunan semata-mata, habis program sekadar berlalu sahaja tetapi masalah yang dihadapi (golongan pengamal media) tetap tidak selesai.

"Kita berharap pihak berkepentingan perlu mempunyai sebarang penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi oleh pengamal media sebagai contoh, kadar bayaran untuk wartawan sambilan perlu dinaikkan seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini," katanya.

Bagi Pengerusi Kelab Akhbar Perak Ivan Loh, beliau turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah baik kebajikan golongan pengamal media dengan pemberian elaun atau insentif tertentu terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tinggi.

Hawana 2024 bakal diadakan di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 25 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 9:04 AM