BEREGU utama negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik melangkah ke pusingan kedua Terbuka Indonesia selepas menewaskan beregu berpengalaman Korea. FOTO ihsan BADMINTON PHOTO
BEREGU utama negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik melangkah ke pusingan kedua Terbuka Indonesia selepas menewaskan beregu berpengalaman Korea. FOTO ihsan BADMINTON PHOTO
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kemenangan ke atas pasangan berpengalaman Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, hari ini melonjakkan keyakinan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengharungi pusingan kedua Terbuka Indonesia, esok.

Berlangsung di Stadium Istora Senayan, gandingan negara itu terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Korea itu 21-18, 11-21, 21-11.

Esok, Aaron-Wooi Yik akan bertemu pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq bagi merebut tiket ke suku akhir.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu pernah menang ke atas Jille-Der Lecq dalam satu-satunya perlawanan antara mereka ketika Terbuka Denmark, tahun lalu.

"Ini adalah peluang untuk kami (layak ke suku akhir). Kami pernah bertemu mereka sekali (Jille-Der Lecq) dan kami yakin mampu bermain dengan baik.

"Cuma, kami berharap tidak banyak melakukan kesilapan mudah seperti yang berlaku dalam perlawanan hari ini (ketika menentang Gi Jung-Sa Rang)," kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik tersingkir di suku akhir Masters Indonesia, minggu lalu dan Wooi Yik antara pemain negara yang mengalami keracunan makanan.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Choong Hon Jian-Peck Yen Wei 21-17, 21-14, sekali gus akan membuat perhitungan dengan pilihan kelima yang juga wakil tuan rumah, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, esok.

Satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula menewaskan gandingan England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-15, 21-16 di pusingan pertama, hari ini.

Mereka bakal berdepan tugas getir bertemu pilihan keempat dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 5:33 PM