AARON dan Wooi Yik menang kali pertama ke atas Wei Keng-Wang Chang.
AARON dan Wooi Yik menang kali pertama ke atas Wei Keng-Wang Chang.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tenang ketika berada dalam gelanggang menjadi kunci kemenangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika aksi pusingan kedua Masters Indonesia hari ini.

Menurut Aaron, mereka juga mempamerkan aksi lebih stabil berbanding gandingan lawan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang sekali gus berjaya menempah slot ke suku akhir esok.

"Kami berasakan hari ini kami lebih menggunakan pengalaman yang ada berbanding mereka," kata Aaron selepas berjayas membalas dendam ke atas Wei Keng-Chang lawan yang mengalahkan mereka di final Terbuka India.

Ahad lalu di final Terbuka India, Aaron-Wooi Yik dikecewakan pasangan nombor tujuh dunia itu dan aksi di Stadium Istora Senayan hari ini menyaksikan mereka lebih bersemangat, menewaskan lawan dengan straight set 22-20, 21-13.

Malah kemenangan itu juga yang pertama buat beregu kedua dunia itu dalam empat pertembungan sebelum ini yang dimenangi Wei Keng-Chang.

Kemaraan Aaron-Wooi Yik itu juga secara tidak langsung menyaksikan mereka mengubat kekecewaan terkandas di suku akhir di tangan lawan yang sama pada edisi tahun lalu.

Di final Terbuka India minggu lalu, Aaron-Wooi Yik tewas 21-14, 19-21, 18-21 di tangan Wei Keng-Chang dalam tempoh satu jam tiga minit.

Pada aksi suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik yang juga juara Kejohanan Dunia 2022 dijadual bertemu pemenang perlawanan antara satu lagi beregu China, Je Ji Ting-Zhou Hao Dong.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada pilihan ketujuh dari India, Lakshya Sen 21-19, 8-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 5:36 PM