AKSI Aaron (kiri) dan Wooi Yik. FOTO FB Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
AKSI Aaron (kiri) dan Wooi Yik. FOTO FB Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mahu terlalu yakin walaupun mudah melepasi pusingan pertama Terbuka Switzerland, semalam.

Aaron Chia-Wooi Yik yang diletakkan pilihan utama di kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 itu mudah menjinakkan pasangan New Zealand, Oliver Leydon Davis-Abhinav Manota 21-13, 21-15.

Manakala beregu muda negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong terpaksa beraksi tiga set sebelum menundukkan pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-16, 16-21, 21-16.

Bagi Aaron, perjalanannya bersama Wooi Yik masih jauh malah dengan status sebagai pilihan utama, mereka perlu berhati-hati dengan setiap langkah yang diambil.

"Kami gembira perlawanan pertama ini berlangsung dengan baik. Namun ada sedikit tekanan sebab kami diletakkan sebagai pilihan utama.

"Kami akan berusaha sehabis baik tapi akan fokus kepada satu perlawanan demi satu perlawanan kerana perjalanan masih lagi jauh," katanya.

Sementara itu bagi Hang Yee, dia mengakui terpaksa mengubah corak permainan pada set kedua selepas lama tidak beraksi sebelum menang di set ketiga.

Turut mara ke pusingan seterusnya Lee Zii Jia, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Pearly Tan-M Thinaah, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Namun Liew Daren, Soong Joo Ven dan Soniia Cheah gagal meneruskan kemaraan selepas tewas dalam pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:15 PM