AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu senegara pada suku akhir.
AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu senegara pada suku akhir.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperoleh peluang terbaik menebus kekecewaan pada Yonex Terbuka Thailand minggu lalu apabila sekali lagi bakal membuat perhitungan bersama rakan senegara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di suku akhir Toyota Terbuka Thailand, esok.

Beregu utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu ditunjuk jalan keluar seawal pusingan pertama apabila tewas kepada V Shem-Wee Kiong minggu lalu sekali gus meranapkan harapan untuk melangkah lebih jauh di kejohanan berkenaan.

Namun kali ini, Aaron-Wooi Yik dilihat mempamer aksi lebih bertenaga apabila menewaskan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-12, 6-21, 21-16 pada pusingan kedua.

"Kami hanya mahu fokus kepada persiapan diri sendiri. Soal menang atau kalah itu perkara kedua. Pastinya kami mahu buat yang terbaik pada setiap perlawanan. Pada perlawanan hari ini, kemenangan di set pertama memberi keyakinan kepada kami di set kedua tetapi kami tewas. Di set ketiga, kami banyak melakukan serangan ke atas lawan," kata Aaron.

Beregu profesional negara, V Shem-Wee Kiong yang baru sahaja muncul naib juara minggu lalu, melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-15, 16-21, 21-15.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso 21-18, 21-15. Mereka akan bertemu pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa esok.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See turut mara ke suku akhir untuk bertemu pilihan keenam dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Pada pusingan kedua hari ini, mereka menewaskan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-14, 21-16.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turutmengesahkan tempat ke suku akhir dengan menewaskan wakil Perancis, Emilie Lefel-Anne Tran 19-21, 21-17, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 5:41 PM