WAN Arif dan Mohd Haikal tidak beraksi di final Masters Orleans, malam tadi, selepas Mohd Haikal positif Covid-19. FOTO ihsan BAM
WAN Arif dan Mohd Haikal tidak beraksi di final Masters Orleans, malam tadi, selepas Mohd Haikal positif Covid-19. FOTO ihsan BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun hasrat untuk muncul juara di Masters Orleans tidak kesampaian, beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri akan terus berjuang memburu kejuaraan.

Covid-19 menjadi halangan buat pasangan di ranking ke-103 dunia itu apabila terpaksa menarik diri daripada aksi final bertemu beregu Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq di Paris, Perancis, malam tadi selepas Haikal diuji positif sebelum perlawanan.

Ia meleburkan impian mereka untuk merangkul gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 100.

"Sejujurnya saya rasa sedikit kecewa sebab kami tak dapat beraksi di final. Tinggal selangkah saja lagi, tapi saya yakin apa yang terjadi ini ada hikmahnya. Mungkin hari ini bukan rezeki kami.

"Tapi Alhamdulillah, secara keseluruhan saya lihat kombinasi kami semakin baik. Penyertaan di beberapa siri lalu banyak membantu kami tingkatkan tahap keyakinan untuk beraksi di peringkat senior.

"Saya amat puas hati dan harap kami akan terus memperbaiki kelemahan dan menang di kejohanan akan datang," kata Wan Arif.

Prestasi Wan Arif bersama Haikal terus konsisten selepas tahun lalu mereka berjaya merangkul tiga kejuaraan.

Manakala sejak mula kejohanan, Wan Arif-Haikal membuktikan potensi dimiliki mereka apabila menumbangkan pemain ranking ke-30 dunia dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior ketika aksi pusingan pertama.

Misi beregu dikenali dengan jolokan 'Patatimo' itu selepas ini adalah merangkul emas di temasya Sukan Sea Hanoi pada penampilan pertama mereka di pentas itu.

Untuk rekod ia adalah penampilan pertama mereka di temasya dwitahunan itu dengan Malaysia hadir sebagai juara bertahan dalam acara beregu lelaki apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat emas pada edisi 2019 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 2:56 PM