CHIEW Sien (kiri) dan Vivian berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak digandingkan tahun lalu. -FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
CHIEW Sien (kiri) dan Vivian berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak digandingkan tahun lalu. -FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien melakar kejutan selepas menang aksi suku akhir Terbuka Switzerland menumpaskan pilihan keenam dari India, Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki pagi tadi.

Vivian-Chiew Sien memerlukan masa hampir sejam untuk mencatat kemenangan straight set 22-20, 23-21 dan mara ke separuh akhir adalah pencapaian terbaik mereka sejak digandingkan tahun lalu.

Bagaimanapun, tugas mereka semakin sukar selepas ini apabila bakal berdepan pasangan adik-beradik dari Bulgaria yang juga pilihan ketiga, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.

Turut mara dan akan berdepan sesama sendiri di separuh akhir ialah gandingan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan keempat terpaksa berhempas-pulas untuk menundukkan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje sebelum menang 11-21, 22-20, 21-15.

Soon Huat-Shevon membuktikan kemampuan mereka sebagai pilihan keenam dengan menumbangkan gandingan Perancis, William Villeger-Anne Tran 21-17, 21-12.

Turut mara ialah beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas mereka mengalahkan Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-12.

Sze Fei-Izzuddin yang juga pilihan kelapan akan membuat perhitungan dengan satu lagi pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob.

Nasib tidak menyebelahi satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas mereka tumpas kepada pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto 12-21, 21-9, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 9:57 AM