Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengesahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah memberi restu untuk dia meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu berterima kasih kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memahami situasi dialaminya dan sekali gus menyelesaikan kemelut yang melanda dengan badan induk berkenaan.

"Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih di atas semua sokongan dan tunjuk ajar daripada Tan Sri Norza, BAM, barisan jurulatih dan kakitangan sokongan sejak hari pertama saya menyertai skuad kebangsaan," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Pemain berusia 21 tahun itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas pertolongan mereka menyelesaikan isu dengan BAM.

"Akhir sekali, saya mahu berterima kasih kepada semua di atas sokongan yang berterusan sepanjang kerjaya saya. Saya juga berharap anda semua akan terus menyokong BAM dan saya yang akan meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

"Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi mempromosikan badminton Malaysia di pentas antarabangsa bersama pemain badminton Malaysia yang lain. Kami akan berjuang bersama sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa dan 31 Oktober 2021 susulan keputusannya mahu bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, Jin Wei pada kelmarin menghantar surat rayuan kepada BAM bagi menarik balik tindakan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:03 PM