ZII Jia elak pertemuan dengan Axelsen dan Momota pada peringkat awal.
ZII Jia elak pertemuan dengan Axelsen dan Momota pada peringkat awal.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia berjaya mengelak daripada diundi dalam kumpulan sama dengan dua jaguh badminton dunia, Viktor Axelsen (Denmark) dan Kento Momota (Jepun) di Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia.

Dalam kejohanan bermula esok, Zii Jia sedikit lega dan berpeluang cerah ke separuh akhir selepas diundi dalam Kumpulan B bersama K Srikanth dari India, Kunlavut Vitidsarn (Thailand) dan Toma Junior Popov (Perancis).

Axelsen dan Momota pula dilabel sebagai pilihan untuk mara ke separuh akhir selepas diundi dalam Kumpulan A bersama dua lagi pemain iaitu Rasmus Gemke (Denmark) dan Lakshya Sen (India).

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, pihaknya enggan meletakkan harapan tinggi terhadap Zii Jia kerana sedar juara Seluruh England 2021 itu masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam beberapa kejohanan sebelum ini selain baru pulih daripada kecederaan pinggang dialaminya ketika final Terbuka Hylo di Jerman, awal bulan ini.

"Sukar untuk saya bercakap mengenai peluang Zii Jia kerana kita tahu dia masih belum dapat menemui rentak sebenarnya dalam beberapa kejohanan sebelum ini. "Namun, saya harap Zii Jia menjadikan saingan Jelajah Dunia Akhir ini sebagai persiapan dia untuk menghadapi Kejohanan Dunia (di Huelva, Sepanyol bermula 12 hingga 19 Disember ini," kata Choong Hann.

Ini kali kedua Zii Jia layak beraksi dalam kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.36 juta) itu.

Pada penampilan pertamanya pada edisi 2020 di Thailand, Januari lalu menyaksikan dia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas semua perlawanan di tangan Axelsen, Chou Tien Chen dari Taiwan dan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.

Sementara itu, saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin diundi dalam Kumpulan B bersama beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan (Indonesia) dan Christo Popov-Junior Popov (Perancis).

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini pula diundi dalam 'kumpulan maut' bersama pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, Kim Soyeong-Kong Heeyong (Korea Selatan) dan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam Kumpulan A.

"Semestinya kami teruja dapat beraksi dalam Jelajah Akhir Dunia ini, ia akan menjadi pengalaman bagus untuk kami. "Mengenai undian, saya tahu kami akan berdepan cabaran sukar, setiap perlawanan pastinya sukar. Namun, kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri sebaliknya cuba untuk mempamerkan prestasi kami," kata Thinaah.

Bagi saingan beregu campuran, dua wakil negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dan Mathias Christiansen-Alexandra Boje (Denmark).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:19 PM