Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia. FOTO AFP
Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedudukan pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia meningkat dua anak tangga ke tangga kelapan dalam ranking dunia dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Selepas memperoleh 12,000 mata dalam Kejohanan Seluruh England, pemain berusia 22 tahun itu mengumpul 69,389 mata daripada 25 pertandingan disertainya untuk ranking terbaik dalam kerjayanya selepas termasuk dalam kedudukan 10 teratas Mac tahun lepas, menurut laman sesawang rasmi BWF, https://bwfbadminton.com.

Kemenangan di Arena Utilita, Birmingham pada Ahad, membantu anak Kedah itu memintas Angus Ng Ka Long dari Hong Kong (69,270 mata) dan Wang Tzu-wei dari Taiwan (63,393 mata).

Zii Jia memenangi Kejohanan Seluruh England selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark, 30-29, 20-22, 21-9.

Bintang Jepun Kento Momota kekal nombor satu dunia dengan 109,118 mata daripada 15 kejohanan, termasuk 6,600 mata daripada pertandingan berprestij Seluruh England walaupun tewas 16-21 dan 19-21 kepada Zii Jia dalam perlawanan suku akhir.

Jaguh Denmark Axelsen (98,486) dan Anders Antonsen (94,875) juga kekal dalam kelompok tiga teratas.

Juara beregu wanita di Terbuka Switzerland, Pearly Tan - M Thinaah juga melonjak tiga anak tangga, selepas memperoleh 6,000 mata selepas mara ke suku akhir Seluruh England untuk berada di tangga ke-19 dunia dengan 47,015 mata.

Dalam kategori perseorangan wanita, Soniia Cheah (38,931 mata) menurun satu anak tangga ke tangga 33 sementara S Kisona (25,184 mata) naik dua anak tangga untuk berada di ranking ke-60.

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga menokok satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia dengan 62,770 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 4:35 PM