MOMOTA (kiri) dan Zii Jia.
MOMOTA (kiri) dan Zii Jia.
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS tumpas kali keempat berturut-turut di tangan Kento Momota di Terbuka Korea minggu lalu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pulang ke tanah air untuk memulakan kempen mempersiapkan dirinya.

Selepas perlawanan suku akhir Jumaat lalu, Zii Jia mengeluh bahawa tiada lain yang perlu dilakukannya hanya perlu bekerja keras jika mahu menumbangkan pemain nombor satu dunia itu.

Apa yang perlu di atas pemain kelahiran Kedah itu adalah mengatasi kekuatan stamina Momota.

"Dia (Momota) memang berada di kelas tersendiri. Saya sudah bermain dengan beberapa pemain 10 terbaik dunia namun saya masih tidak belum merapatkan jurang dengan Momota," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Zii Jia ketika ini yang menduduki nombor 16 dunia sudah berjaya mengejutkan beberapa pemain handalan dunia seperti juara Olimpik, Chen Long (China), bekas juara dunia, Viktor Axelsen (Denmark) dan Chou Ten Chen (Taiwan).

Sekarang hanya tinggal Momota yang masih belum direbahkannya, selepas empat kali pertemuan berakhir dengan kekalahan straight set.

"Cara dia menukar kepantasan adalah salah satu kelebihannya dan dibantu dengan kemahiran individu.

"Dia tidak memiliki kelebihan dari segi serangan namun saya rasa dia adalah pemain yang sempurna," kata Zii Jia.

Pemain kelahiran Kedah itu mengakui bahawa dia sekarang ini sedikit demi sedikit menunjukkan peningkatan dan ia tidak mengambil masa lama untuk mencetak nama di pentas besar.

Dia juga menjelaskan sudah bersedia untuk berdepan nama-nama besar walaupun di peringkat awal mana-mana kejohanan.

"Saya hanya perlu mengurangkan kesilapan di dalam gelanggang. Itu yang sedang saya cuba berbaiki menjelang Terbuka Denmark dan Perancis dua minggu dari sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 7:23 PM