ZII Jia kini duduki ranking kelapan dunia.
ZII Jia kini duduki ranking kelapan dunia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas menumbangkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota di suku akhir Seluruh England minggu lalu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berhajat memburu seorang lagi pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Mangsa seterusnya yang dinyatakan Zii Jia ialah perseorangan Indonesia, Anthony Ginting, pemain nombor lima dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan Zii Jia dan Ginting, tiga perlawanan yang dilalui sejak 2019 hingga Jelajah Dunia Akhir Januari lalu, semuanya memihak kepada lawan dari negara seberang itu.

"Sudah tentu (saya mahu kalahkannya selepas ini). Kalau boleh saya mahu ada rekod kemenangan ke atasnya. Semua pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia saya mahu ada rekod kemenangan," katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Zii Jia berkata, hanya Ginting yang belum pernah dikalahkannya tatkala pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen pun sudah menjadi mangsa selepas berjaya menumbangkan wakil Denmark itu dalam perlawanan akhir Seluruh England Ahad lalu.

ANTHONY Ginting menang semua tiga perlawanan ke atas Zii Jia setakat ini. FOTO Agensi
ANTHONY Ginting menang semua tiga perlawanan ke atas Zii Jia setakat ini. FOTO Agensi

"Sekarang ini cuma Ginting saya belum pernah menang, pada masa akan datang saya akan mencatat kemenangan ke atas dia. Itu sasaran saya," kata Zii Jia yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Berdasarkan ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) minggu ini, Zii Jia berada di tangga kelapan.

Seorang lagi pemain yang belum pernah ditewaskannya tapi berada di kelompok 10 terbaik dunia ialah Wang Tzu Wei dari Taiwan, namun mereka berdua masih lagi belum bertemu sesama sendiri setakat ini.

Ditanya mengenai situasi dalam perseorangan lelaki setakat ini, Zii Jia berkata, walaupun China dan Indonesia tidak beraksi di Seluruh England minggu lalu, semua harus menerima hakikat bahawa dia menumpaskan pemain nombor satu dan dua dunia hanya dalam satu kejohanan.

"Bukan mudah untuk mengalahkan Momota dan Axelsen dalam satu kejohanan walaupun ada yang berkata pemain Jepun itu belum berada pada tahap 100 peratus selepas kembali ke gelanggang apabila berehat panjang kerana terbabit dalam kemalangan tahun lalu.

"Apa pun saya harus memberi pujian juga kepada diri sendiri untuk meningkatkan lagi keyakinan saya," kata Zii Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 9:08 PM