CHONG WEI buru kejuaraan kali kelima.
CHONG WEI buru kejuaraan kali kelima.

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei diundi dalam Kumpulan B Siri Super Akhir bersama Son Wan Ho (Korea Selatan), Ng Ka Long (Hong Kong) dan Viktor Axelsen (Denmark).

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan dijangka tidak berdepan masalah untuk menduduki dua kelompok teratas dan mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan tetap menganggap ia kumpulan yang sukar walaupun berdasarkan rekod pertemuan ketiga-tiga pemain berkenaan semuanya berpihak kepada Chong Wei.

“Ia undian yang bagus tetapi tetap sengit,” kata Hendrawan yang sepatutnya berlepas ke Dubai bersama pemain negara, Sabtu lalu namun menghadapi masalah visa dan hanya berlepas semalam.

Pemain nombor satu dunia itu sedang dalam usaha untuk mencari kejuaraan Siri Super Akhir buat kali kelima selepas muncul juara pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan pilihan utama Jan O Jorgensen (Denmark) diundi bersama Tian Houwei (China), Marc Zwiebler (Jerman) dan Hu Yun (Hong Kong) yang menggantikan Chen Long (China) selepas menolak tiket wild card selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula diundi dalam Kumpulan B bersama Chai Biao-Hong Wei (China), Mathias Boe-Carsten Mogensen (Denmark) dan Li Junhui-Liu Yuchen (China).

Sementara itu, beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menggantikan pasangan Indonesia Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii diundi dalam Kumpulan B bersama Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl (Denmark), Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan (Korea Selatan) dan Chen Qingchen-Jia Yifan (China).

Siri Super Akhir akan berlangsung di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai dan bermula esok hingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:43 AM