CHOONG Hann berkata, sasaran paling utama adalah untuk mendapatkan sebanyak mata kelayakan bagi mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik. FOTO NSTP
CHOONG Hann berkata, sasaran paling utama adalah untuk mendapatkan sebanyak mata kelayakan bagi mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Berdasarkan kedudukan ranking dan melihat kepada prestasi semasa skuad badminton negara sepanjang tiga kejohanan di Thailand, mara ke separuh akhir pada aksi Terbuka Switzerland adalah satu sasaran yang realistik.

Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pemain yang tersenarai dalam skuad negara memberikan prestasi terbaik masing-masing berikutan kejohanan yang akan berlangsung di Basel bermula Selasa ini adalah kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, sasaran paling utama bagi setiap pemain adalah untuk mendapatkan sebanyak mata kelayakan bagi mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik yang berlangsung Julai ini.

Justeru setiap pemain perlu melangkah sejauh yang mungkin bagi memastikan kedudukan mereka ke temasya itu terjamin.

"Berdasarkan kedudukan ranking mereka boleh mara ke separuh akhir. Bagaimanapun mereka perlu mempamerkan permainan yang stabil kerana apabila permainan semakin bagus, saya yakin mereka boleh pergi lebih jauh.

"Ketika ini semua pemain berada dalam keadaan baik dan saya percaya pemain seperti (Lee) Zii Jia boleh memperbaiki pencapaiannya dan pergi ke separuh akhir kerana laluan dalam kejohanan itu agak positif," katanya.

Malaysia mempertaruhkan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.

Kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 itu turut disertai Pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi pilihan utama dalam acara beregu lelaki selepas ketiadaan beberapa beregu utama dunia termasuk Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Hendra Setiawan-Muhammad Ahsan.

Acara beregu wanita menyaksikan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan.

Antara pemain lain yang akan beraksi di Terbuka Switzerland termasuk Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam acara beregu lelaki selain Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng- Lai Pei Jing yang turut menjadi pemain pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 10:59 PM